Tuesday, October 26, 2010

pengelompokan dan pengurusan bilik darjah

Pengelompokan

Pengelompokan kemampuan pelajar telah banyak dibuat kajian samaada di peringkat sekolah rendah mahupun peringkat sekolah menengah. Pengelompokan ini merujuk kepada pengasingan pelajar mengikut kelas yang tertentu berdasarkan kemampuan pelajar dalam bidang akademik atau aliran kos. Pengasingan pelajar ditentukan oleh guru ataupun pilihan pelajar terbabit. Kajian Robert Slavin (1986) mengenalpasti amalan pengelompokan membantu prestasi pelajar di sekolah.

Dalam sistem pendidikan negara, pada tahap sekolah rendah pelajar diasingkan mengikut kemampuan pelajar berdasarkan penilaian semasa kurikulum pada setiap tahun. Terdapat tiga kumpulan yang utama iaitu pelajar yang cemerlang, sederhana dan lemah. Pelajar akan dibahagikan mengikut peringkat tersebut. Hal yang sama turut berlaku di sekolah menengah tetapi berlainan pada peringkat menengah rendah dan menengah tinggi. Pada peringkat menengah rendah pengasingan pelajar berdasarkan penilaian ujian di akhir tahun pengajian. Pelajar diasingkan sepertimana di sekolah rendah.

Walaubagaimanapun, pada peringkat menengah tinggi, pelajar akan diasingkan mengikut aliran yang dipilih oleh pelajar atau pihak sekolah yang tentukan. Hasil daripada penilaian menengah rendah (PMR), pelajar atau pihak sekolah boleh menentukan jurusan sains, sastera, agama atau teknikal. Di sini pengelompokan menjurus ke arah aliran bidang pelajar masing-masing.

Secara teori, amalan ini dapat meningkatkan prestasi pelajar dan mengurangkan jurang tahap kemampuan pelajar. Pengagihan kelas mengikut kemampuan pelajar atau mengikut jurusan bidang masing-masing memudahkan pelajar belajar bersama-sama mengikut keupayaan mereka. Pengelompokan ini bukan sahaja memberikan kelebihan kepada pelajar, malah guru juga dapat mengajar kelas terbabit mengikut kemampuan pelajar. Proses kaedah pengajaran dan pembelajaran turut berbeza. Guru dapat mengajar lebih laju dan arahan yang lebih cepat di dalam kelas yang cemerlang berbanding kelas yang lemah, kaedah pengulangan dan perhatian yang lebih terhadap pelajar ini.

Melalui amalan pengelompokan ini, pelajar saling bersaing dalam aktiviti kurikulum mahupun kokurikulum. Pelajar akan lebih terdorong melakukan aktiviti bersama kawan-kawan sekelas yang sama pada tahap mereka. Kebanyakan pelajar ini pada kelas yang lebih cemerlang berbanding kelas bawahan. Pelajar di peringkat yang lemah pula belajar dalam kumpulan yang sama hanya sekadar untuk melepasi ujian penilaian tahunan.

Selain itu, melalui amalan pengelompokan ini juga memudahkan pihak pentadbir sekolah iaitu kakitangan staf sekolah merancang aktiviti untuk pelajar. Pihak pengurusan sekolah dapat mengadakan seminar atau bengkel mengikut kemampuan pelajar atau jurusan bidang pelajar masing-masing. Misalnya seminar kecemerlangan terhadap pelajar yang mempunyai masalah dalam pembelajaran selalunya kelas bawahan yang terlibat memandangkan kelas bawahan ini mempunyai pelajar yang bermasalah dari segi akademik mahupun akhlak. Dengan mengadakan amalan pengelompokan ini memudahkan pihak pentadbiran memilih pelajar berkenaan.

Amalan pengelompokan ini turut mempunyai kelemahan yang dilihat dapat menganggu proses pelajaran dan pembelajaran dalam kelas. Dari segi akedemik, pelajar di peringkat bawahan akan ketinggalan berbanding kelas yang cemerlang. Proses pelajaran dan pembelajaran lebih perlahan dan pemahaman pelajar di peringkat ini lebih rendah. Hal ini mewujudkan jurang perbezaan akademik yang tinggi. Ia juga turut memberikan kesan terhadap pelajar.

Selain itu, amalan ini memberikan kesan tekanan terhadap pelajar khususnya pelajar bawahan. Pelajar terbabit akan lebih beremosi, merasa rendah diri, tersisih daripada kawan-kawan dan selau dipinggirkan. Gangguan emosi ini akan lebih melarat seperti tekanan perasaan dan anti terhadap sekolah serta menimbulkan masalah di sekolah jika tidak dikawal oleh guru atau ibu bapa pelajar berkenaan. Pelajar lebih mengikut perasaan seperti malas belajar, ponteng kelas dan sebagainya. Kejadian ini akan menganggu proses pelajaran dan pembelajaran akademik.

Seterusnya ialah tahap guru yang mengajar pelajar yang berlainan kelas ini juga berbeza. Bagi kelas yang cemerlang, guru terdiri daripada guru terlatih dan cemerlang manakala kelas bawahan diajar oleh guru yang kurang berpengalaman mengajar. Kelebihan disini kepada pelajar yang belajar dalam kelompok yang baik kerana guru akan memberi lebih perhatian untuk mencapai sasaran akaedemik yang baik. Pelajar lebih fokus belajar kerana sentiasa dipantau dan dinilai tahap pembelajaran dan peperiksaan. Berlainan pula guru yang mengajar di kelas bawahan, mereka akan mengajar mengikut kemampuan pelajar terbabit. Perhatian dan pengawalan guru terhadap pelajar juga diberikan tetapi kurang berbanding di kelas yang cemerlang. Kesannya ialah pelajar terbabit di mana mereka tidak mempunyai keinginan untuk belajar dan mempunyai fokus terhadap peperiksaan. perbezaan guru yang mengajar ini jelas menunjukan diskriminasi terhadap pelajar berkenaan.

PERANAN GURU MENGURANGKAN MASALAH NEGATIF DALAM PENGELOMPOKAN

Peranan dan tangungjawab guru membina negara berlandaskan etika agama dan nilai. Ini selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan berpandukan kepada asas kepercayaan kepada tuhan. Dalam keadaan kekosongan inilah guru boleh membina kekuatan dalaman iaitu kerohanian menerusi aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kerohanian yang mantap dan suci akan membina intelek yang sihat, emosi yang stabil dan jasmani yang sejahtera. Keharmonian dan keseimbangan potensi rohani, intelek, emosi dan jasmani akan menyubur dan meningkatkan kepercayaan pelajar kepada Tuhan. Pembinaan kekuatan dalaman ini mudah dilaksanakan jika guru menjalankan tugasnya sebagai ibadah dengan matlamat membangunkan insan.

Pada hari ini masalah nilai menjadi krisis sejagat dan global. Tanpa bimbingan dan asuhan guru, pelajar mudah memilih dan mengamalkan nilai yang bertentangan dengan agama, budaya, adab sopan, moral dan disiplin sekolah. Arus teknologi maklumat dan komunikasi yang semakin menggila memudahkan lagi pelajar terjebak dengan nilai negatif. Pendidikan akhlak iaitu pendidikan yang dapat membina keyakinan, kefahaman, penghayatan dan pengamalan nilai murni yang terkandung dalam ilmu wahyu iaitu Al –Quran dan As-sunnah. Terlalu banyak nilai murni yang selaras dengan fitrah insan terkandung dalam ilmu wahyu. Guru boleh merujuk pada nilai berkenaan dan seterusnya membina nilai positif yang diinginkan menerusi pengajaran dan pembelajaran. Apabila guru berjaya melaksanakan pendidikan akhlak pada peringkat awal, maka akan lahirlah pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua aspek iaitu akademik dan sahsiah. Biar apa pun nilai yang dipilih dan diamalkan pelajar, ia hendaklah tidak bertentangan dengan agama dan wahyu.

Guru mempunyai tanggungjawab yang besar dalam sistem pendidikan negara. Peranan guru bukan sahaja memberi ilmu di dalam kelas sahaja tetapi meliputi aspek dalam kehidupan manusia. Segala panduan, bimbingan dan didikan yang diberikan memberikan perubahan baru terhadap perkembangan pelajar. Kemajuan sesebuah negara juga bergantung terhadap guru yang mencorakkan pelajar dalam menbentuk sebuah generasi baru yang turut member kesan pada masa depan.

Dalam aktiviti pengelompokan kelas di sekolah, peranan guru amat penting. Motif utama guru mengajar di kelas ialah menentukan kaedah proses pelajaran dan pembelajaran. Objektif guru ialah memahami tahap kemampuan pelajar berkenaan dengan meletakkan sasaran yang sesuai dalam proses ini. Guru sepatutnya memahami permasalahan pelajar dan cuba menyelesaikan supaya proses ini dapat berjalan dengan lancar. Selain itu mengukur tahap kemampuan pelajar berkenaan dengan melakukan penilaian. Dengan penentuan objektif ini guru dapat melihat sejauh manakah tahap pengajarannya dalam kelas dapat membantu pelajar.

Persiapan pengajaran sebelum proses mengajar dalam kelas juga dapat membantu mengurangkan jurang pengelompokan kelas di sekolah. Guru seharusnya tahu membuat perancangan melibatkan pelajar yang mempunyai pencapaian yang berbeza. Objektif dan isi pelajaran dirangka dan disusun mengikut kefahaman pelajar. walaupun pendekatan yang digunakan berbeza, namun penyampaian ini dapat memberi kesan terhadap pelajar terbabit mengikut kemampuan masing-masing.

Guru bertanggungjawab dalam setiap aktiviti pelajar dalam kelas. Oleh itu guru perlu bijak dalam menyampaikan pengajaran dan pendekatan yang sesuai supaya pelajar dapat mengikuti dan memahami proses pelajaran dan pembelajaran. Guru perlu mempunyai kemahiran dalam menimbulkan minat pelajar melalui pelbagai pendekatan yang disediakan di sekolah. Kemudahan makmal komputer, pusat sumber dan pusat pengumpulan aktiviti pelajar harus dimanfaatkan oleh guru bersama pelajar. Selain itu guru juga mampu mengawal pelajar dengan pelbagai aktiviti melibatkan pelajar seperti kuiz, syarahan,debat, permainan minda berkaitan akedemik dan sebagainya. Tingkah laku dan gaya guru seperti unsur jenaka dan bercerita akan menyebabkan pelajar dapat belajar dengan lebih baik dan selesa.

Selain itu, peranan guru mewujudkan komunikasi dua hala di antara pelajar dengan guru dan pelajar dengan pelajar. Guru sepatutnya menimbukan suasana yang ceria dan interaksi dalam kelas dengan mengadakan pelabagai aktiviti supaya semua pelajar dalam kelas terlibat. Pelajar akan lebih terdedah dengan proses pembelajaran dan menyertai bersama rakan-rakan kelas yang lain. Apabila proses komunikasi ini berjalan, pelajar dapat meluahkan pendapat dan pandangan mereka sendiri. Ini juga dapat membentuk pelajar lebih berketerampilan.

Sebagai guru, membimbing, mendorong, mendidik dan memberi motivasi terhadap pelajar merupakan tanggungjawab yang sebenar. Oleh itu menjadi suatu kewajipan setiap guru memikul amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Guru seharusnya meyelidiki setiap pelajar di bawahnya dengan mengenalpasti minat dan bakat supaya sesuatu kemahiran pelajar terbabit dapat digilap dan seterusnya menjadi sumber tenaga yang penting pada masa akan datang.

Pengurusan Bilik Darjah

Pendahuluan :

Pengurusan bermaksud satu proses mendapatkan penyertaan, kerjasama, dan campurtangan ahli untuk mencapai objektif-objektif organisasi atau kumpulan, gerak kerjanya termasuk proses merancang, mengelola, memimpin, mengarah dan mengawal. Bilik darjah sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran, merupakan tempat yang terpenting di sekolah. Bilik darjah juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya seorang guru. Pengurusan bilik darjah dinamik ke arah pembinaan modal insan yang menjurus kepada pembinaan jasmani, emosi, rohani dan intelek memerlukan pelbagai pengetahuan,kemahiran, prosedur, teknik dan strategi. Guru seharusnya memiliki gaya kepimpinan, kemahiran merancang, kecekapan mengurus, kepelbagaian dalam pengajaran dan pembelajaran, kebijaksanaan interpersonal, kemahiran berkomunikasi, kemahiran kaunseling dan mampu mengendalikan teknoloji maklumat dan komunikasi (TMK). Pelbagai kekangan dan permasalahan akan wujud dalam bilik darjah, kebiasaannya guru berhadapan dengan tiga cabaran yang besar iaitu kerenah murid, memastikan hasil pembelajaran tercapai dan hambatan masa. Guru yang berwibawa bijak bertindak sebagai penyelesaian masalah, memperjelaskan objektif-objektif setiap perkara yang melibatkan bilik darjah termasuk pengajaran dan pembelajaran serta penilaian (pentaksiran), keceriaan, dan pengurusan murid sebagai pelanggan utama.

Pengurus yang berwibawa sentiasa bersungguh-sungguh menjalankan tugas yang diamanahkan, kreatif dan innovatif, dedkasi, adil, cekap, mesra, periang, bertimbangrasa, bersikap terbuka, tenang, sabar dan sentiasa bersedia untuk mendengar rungutan, kritikan dan teguran yang dianggap sebagai cabaran dalam kerjaya. Pengurusan tanpa cacat (zero defect) yang peka dan sentiasa mencari pendekatan baru untuk memperbaiki kelemahankelemahan serta kekurangan yang menjadi punca kepada pembaziran dan kegagalan di samping memiliki gaya pengurusan kualti yang mencakupi semua aspek bagi meningkatkan produktiviti, keberkesanan program dan bertindak dengan cekap.

Pengurusan bilik darjah yang menyeluruh melibatkan pengurusan fizikal, peralatan dan sumber, pengurusan murid (pelanggan), pengurusan organisasi, pengurusan masa dan pengurusan pengajaran dan pembelajaran serta penilaian.

Pengertian Pengurusan Bilik Darjah

Pengorkestraan kehidupan dalam bilik darjah: merancang kurikulum, mengorganisasi prosedur dan sumber, menyusun atur persekitaran untuk memaksimumkan kecekapan, memantau kemajuan pelajar, dan menjangka kemungkinan. (Lemlech) (1988).

Menurut Anderson (1989),mengatakan pengurusan bilik darjah yang berkesan adalah terdiri daripada:

1. tingkah laku yang menghasilkan penglibatan pelajar yang maksimum dalam aktiviti pembelajaran dan

2. meminimumkan tingkah laku pelajar yang mengganggu tugas guru dan pelajar lain

3. penggunaan masa pembelajaran yang efesien.

Pengurusan Fizikal, Sumber dan Organisasi

Bilik darjah yang mempunyai peralatan asas iaitu papan hitam, papan kenyataaan, dan ruang yang selesa, meja dan kerusi untuk guru dan murid, almari, yang dihiasi dengan penyediaan bahan-bahan bacaan, dan bahan bantuan mengajar serta peralatan sokongan serta dihiasi dengan keceriaan dan keberrsihan. Susunan meja dan kerusi dalam bilik darjah sebaik-baiknya memberi kemudahan kepada murid-murid mengadakan aktiviti pembelajaran berpusatkan murid dan aktiviti berkumpulan. Murid mudah berintraksi sesama mereka dan mudah berintraksi dengan guru. Bilik darjah yang berukuran 7 meter x 9 meter boleh memuatkan 40 orang murid. Cahaya yang mencukupi dan pintu dan tingkap yang terbuka yang membolehkan pengedaran udara yang secukupnya. Papan kenyataan yang dilengkapi dengan jadual waktu, jadual bertugas, carta organisasi,pelan keselamatan, sudut mata pelajaran, sudut bacaan atau rujukan, kata-kata motivasi,termasuk kemudahan penggunaan laman web, komputer dan CD dan LCD sehingga melahirkan pembudayaan bilik darjah yang kondusif. Hasilnya terjelma suasana yang harmonis, ceria, dan semangat kepada murid dan guru untuk berada lebih lama kerana terasa seolah-olah berada dalam sebuah rumah sendiri, wujudnya perasaan saling berkerjasama dan kekitaan dan semangat berdikari, iaitu bersama berusaha memajukan diri dan kumpulan secara kolektif. Murid sebagai sumber manusia yang akan dijelmakan menjadi murid yang berpengetahuan dan berkemahiran dan berketrampilan memerlukan pengurusan dan perancangan strategic yang berkesan.

Guru berperanan sebagai pencetus idea, pembimbing, fasilitator bagi melahirkan suasana pembelajaran yang mengcakupi semua bidang kemahiran sebagaisumber kepada pembinaan modal insan. Suasana pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan, bermotivasi, bermoral, kreatif, menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berfokus.Kejayaan guru mengurus fizikal, sumber dan suasana bilik darjah yang kondusif, bermakna guru telah berjaya membentuk budaya berdisiplin, kerjasama, sayang kepada keindahan alam sekitar, mematuhi setiap arahan, kehidupan berkualiti, yang melambang sebahagian daripada keimanan. Persediaan untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan merupakan sebahagian daripada pengurusan bilik darjah dinamik. Persediaan yang merangkum pelbagai alatan dan bahan untuk kegunaan guru dan murid. Ada kalanya murid tidak member perhatian atau berkelakuan di luar daripada nilai-nilai murni yang hendak digarap boleh dilihat berpunca daripada tidak terdapat kesinambungan dalam pelajaran disebabkan persediaan guru dari aspek bahan, perlatan, pengetahuan dan kemahiran yang kurang mantap.

Pelajar Bertingkah laku bermasalah

Pengenalan

Kebelakangan ini tingkah laku bermasalah menjadi topik perbincangan di kalangan masyarakat umum. Nampaknya tingkah laku bermasalah boleh menyebabkan ketidakseimbangan di antara emosi dan aktiviti kehidupan seharian individu. Tingkah laku bermasalah juga memberi kesan yang buruk dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Guru memainkan peranan utama membentuk keperibadian tingkah laku murid-murid semasa berada di sekolah. Selain dari tanggungjawab ibu bapa, guru adalah orang yang penting dalam menghasilkan insan yang sempurna dalam pendidikan. Dengan bertambahnya bilangan anggota masyarakat yang berpendidikan moden, sikap yang tidak mementingkan kanak-kanak ini telah beransur berubah.

Kanak-kanak pada hari ini telah diberikan perhatian serius secara keseluruhan dari segi emosi, jasmani dan rohani. Ibu bapa sudah mula pandai melayan pertanyaan anak-anak, membawa mereka makan bersama, berbincang serta memberi peluang kepada anak-anak memberi pendapat dan pandangan dan memberi mereka kebebasan memilih atau membuat keputusan asalkan tidak memudaratkan diri dan keluarga. Perkembangan sikap ini telah memberikan kesan positif dalam dunia kehidupan kanak-kanak supaya ia dapat menghasilkan satu generasi yang lebih aktif, berani dan mahu tampil ke hadapan untuk bertanding lebih gigih dalam kehidupan masyarakat.

Masalah tingkah laku sememangnya sering dihadapi oleh guru-guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Bukannya mudah untuk menguruskan masalah tingkah laku di kalangan murid-murid. Adakalanya ia dapat dikawal dan ada kalanya ianya seperti barah yang boleh menyebabkan lumpuhnya proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Yang pasti, tanggungjawab seorang guru di sekolah amat berat sekali. Bak kata pepatah “ Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul “. Itulah hakikat tugas seorang guru di sekolah. Apabila berlaku salah laku di kalangan murid-murid, maka guru akan dipersalahkan dan jari dituding ke arah guru.

Pengertian Tingkah Laku Bermasalah

Mohd Nazar Mohamad ( 1990 ) mentakrifkan tingkah laku bermasalah individu sebagai tingkah laku yang menggangu perjalanan kehidupannya.

Menurut Robert H Woody di dalam bukunya berjudul ‘ The School and the Behaviour Problem Child ‘ menyatakan semua tingkah laku di sekolah dapat diperlihatkan dalam berbagai bentuk dan ragam. Kanak-kanak tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan keadaan dan suasana pembelajaran. Keadaan begini selalu menjejaskan pelajaran dan keupayaan mereka untuk belajar dan berhubung dengan orang lain.

Dalam konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku pelajar yang boleh menjejaskan kelicinan atau keberkesanan pengajaran dan pengajaran khasnya di dalam bilik darjah.

Langkah mengurus pelajar bermasalah

  1. Kemahiran Komunikasi

Menurut Mok Soon Sang (2003), komunikasi di bawah konteks pendidikan boleh ditakrifkan sebagai sesuatu proses penyampaian atau pertukaran maklumat di antara dua individu atau di antara seorang individu dengan sekumpulan orang. Dengan perkataan lain, komunikasi merupakan satu interaksi sosial di antara orang melalui aktiviti pemindahan mesej. Di dalam bilik darjah, komunikasi biasanya berlaku di antara guru dengan murid semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran atau di antara murid dengan murid semasa aktiviti kumpulan dijalankan. Contohnya guru menyampaikan pengajarannya dengan suara yang jelas, kuat dan lantang serta menggunakan perkataan-perkataan yang ringkas dan mudah difahami. Di samping itu, guru juga dapat memberikan peneguhan positif kepada murid melalui komunikasi bukan lisan bagi memberi dorongan kepada pelajar untuk meningkatkan usaha mereka dalam pembelajaran seperti mengangguk kepala dan senyuman setelah melihat mereka mencuba sesuatu. Justeru, amat penting bagi guru untuk menguasai kemahiran komunikasi dan mempertingkatkan kemahirannya dari semasa ke semasa kerana komunikasi yang tepat membantu guru meningkatkan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Abd. Rahim Abd. Rashid (1999) menegaskan bahawa guru yang cekap semestinya perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang baik.

Sifat peramah serta dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai kelompok sosial yang berbeza memerlukan guru menguasai kemahiran komunikasi yang baik. Penguasaan dan penggunaan bahasa yang baik dan cekap sangat penting bagi mewujudkan komunikasi yang berkesan. Kemahiran komunikasi juga sangat penting bagi membolehkan seseorang guru dapat menyampaikan pengajarannya dengan lancar, jelas dan mudah difahami. Adalah lebih baik sekiranya, seseorang guru mampu menguasai beberapa bahasa agar dapat mendedahkan dirinya dengan dunia sosial yang lebih luas dan intelektual yang lebih menyeluruh.

  1. Gaya Kepimpinan

Selain itu, gaya kepimpinan guru juga dilihat sebagai satu salah aspek yang perlu diberi perhatian supaya kawalan kelas dapat dilakukan dengan berkesan. Lippit dan White (1958) menjelaskan bahawa kawalan secara kekerasan dan mengikut sesetengah golongan menganggapnya sebagai berwibawa. Segala aktiviti pelajar diarahkan oleh guru dan hanya guru yang akan menentukan pujian dan kritikan terhadap pelajar-pelajarnya. Namun begitu, Ee Ah Meng (1998) menganggap kepimpinan guru menerusi pendekatan ini bersifat autokratik dan biasanya pendekatan sebegini jarang melibatkan pelajar dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana guru merasakan penglibatan pelajar boleh mengancam kewibawaan mereka dan menimbulkan gangguan kepada aktiviti mereka.

Terdapat juga guru yang memainkan peranan pasif dan membiarkan pelajar dalam kumpulannya mempunyai kebebasan penuh untuk melakukan apa yang mereka suka dan mereka tidak memberi sebarang saranan dan penilaian positif atau negatif terhadap tingkah laku pelajar (Lippit dan White, 1958). Kepimpinan sebegini pula dikelaskan oleh Ee Ah Meng (1998) sebagai kepimpinanl aissez- faire di mana pelajar akan menjadi kurang produktif di hadapan guru kerana banyak masa yang dihabiskan hanya untuk bertanya dan mendapatkan maklumat sahaja.

Adalah lebih baik sekiranya guru menggunakan pendekatan kawalan terpimpin yang bersifat sederhana dengan jenis kepimpinan demokratik demi mewujudkan keadaan kondusif yang sesuai di samping menjamin proses pembelajaran berlaku dengan lebih berkesan. Omardin Ashaari (1999) berpendapat pelajar perlu diberi bimbingan dan pimpinan mengikut pelbagai langkah dan peringkat pembelajaran dengan menggunakan kaedah yang sistematik bagi membolehkan mereka maju dengan seberapa cepat yang boleh. Ini kerana pelajar adalah organisma yang berkembang dan guru sepatutnya membiarkan mereka berkembang secara semula jadi. Oleh itu, pelajar seharusnya belajar melalui peringkat demi peringkat secara teratur mengikut kehendak dan keperluan mereka untuk menentukan arah yang sesuai bagi diri mereka sendiri. Pendekatan sebegini menjadikan pelajar lebih matang dan mempunyai rasa percaya diri kerana pelajar akan mempelajari apa yang perlu mereka ketahui. Manakala guru pula hendaklah memainkan peranan yang aktif dalam memberi pandangan dan saranan semasa merancang dan mengelolakan sesuatu aktiviti pembelajaran.

Jenis kepimpinan demokratik ini bertujuan memberi kebebasan kepada pelajar untuk bertindak dalam kumpulan. Guru akan memilih ahli dan sentiasa melakukan penyerahan tugas. Hasilnya, pelajar akan berusaha menghasilkan kerja yang baik dan aktif dalam semua keadaan tidak kira sama ada dengan kehadiran guru atau sebaliknya. Perbezaan di antara diri pelajar dengan persekitaran pula membantu menambahkan ketentuan dan keyakinan diri. Suasana rapat dan mesra dapat diwujudkan hasil sifat toleransi dan kerjasama antara pelajar dan guru malah di dikalangan pelajar itu sendiri.

Menerusi pendekatan kawalan terpimpin yang bersifat sederhana dengan jenis kepimpinan demokratik, guru perlu memainkan peranan penting dan peka terhadap setiap pelajar sama ada mereka menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru atau tidak. Ini kerana kemungkinan terdapat pelajar yang lebih tertarik kepada kejadian yang berlaku di luar kelas sehingga mengganggu perjalanan pengajaran guru disebabkan beberapa faktor seperti suara guru kurang lantang atau kaedah pengajaran kurang berkesan (Omardin Ashaari, 1999). Oleh itu, sekiranya guru dapat mengesan bahawa pengajaran mereka kurang menarik perhatian pelajar atau membosankan, maka guru perlu mempelbagaikan teknik, kaedah, strategi dan pendekatan pengajaran serta menggunakan pelbagai bahan bantu yang sesuai untuk menarik perhatian pelajar. Selain itu, mereka juga boleh menggunakan kebijaksanaan mereka mengawal bilik darjah secara aktif seperti melibatkan pelajar dalam aktiviti pembelajaran dengan memberikan beberapa soalan kepada pelajar yang dilihat kurang memberikan perhatian.

  1. Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran

Menurut Mook Soon Sang (2003), komunikasi secara lisan dan bukan lisan sering berlaku berlaku semasa guru menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Misalnya, di dalam aktiviti soal jawab, guru biasanya mengemukakan soalan secara lisan (komunikasi secara lisan), murid kemudiannya akan mengangkat tangan sebagai isyarat yang menyatakan keinginannya untuk menjawab soalan (komunikasi bukan lisan). Murid akan menjawab soalan tersebut (komunikasi secara lisan), jika jawapan yang diberikan betul, guru akan memberi peneguhan dengan mengangguk kepala, senyum dan membalas dengan menggunakan perkataan seperti “baik”, “bagus” dan sebagainya (komunikasi bukan lisan dan secara lisan).

Proses komunikasi sama ada secara lisan atau bukan lisan memainkan peranan yang amat penting dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Malah proses tersebut berlaku dalam hampir semua jenis aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti aktiviti soal jawab, perbincangan, membaca, menyanyi, bercerita, penerangan dan sebagainya. Implikasinya, keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran sangat bergantung kepada kebolehan murid mentafsir mesej yang disampaikan oleh guru. Komunikasi berkesan hanya berlaku jika guru menyampaikan pelajaran dengan cara yang mudah dan mudah difahami pelajar berdasarkan tahap kemampuan mereka. Oleh itu, guru hendaklah menggunakan suara yang lantang dan jelas serta perkataan- perkataan yang mudah difahami pelajar semasa menyampaikan pelajaran.

Kementerian pendidikan juga telah meletakkan kaedah pengajaran berpusatkan pelajar, bahan dan berasaskan aktiviti menjadi fokus utama dalam pengajaran dan pembelajaran menerusi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Dengan perubahan tersebut, kurikulum latihan perguruan di institusi-institusi perguruan telah diubahsuai untuk melatih guru-guru yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan isi kandungan yang tinggi malah dapat menguasai kemahiran pedagogi dalam melaksanakan pengajaran yang memusatkan bahan, pelajar dan aktiviti (Lai Kim Leong,et. al., 2001). Bahkan kini kerajaan sedang berusaha untuk membestarikan sekolah-sekolah di negara kita agar lebih banyak sekolah yang dilengkapi dengan pelbagai sumber pelajaran dan bahan bantu mengajar yang merangkumi pelbagai media. Ini bertujuan dapat mencetus dan menarik minat pelajar serta dapat memaksimumkan penglibatan pelajar secara aktif dalam aktiviti pembelajaran demi membangunkan potensi pelajar khususnya dari segi kecerdasan, bakat, kemahiran dan kreativiti pelajar. Sekiranya hal ini tidak dapat dilaksanakan, pelajar akan mudah berasa bosan dan gelisah, mereka mungkin memberontak dan seterusnya menimbulkan masalah\tingkah laku di dalam kelas sehingga menjejaskan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Pendek kata, guru juga perlu kreatif dalam mencorakkan budaya belajar di bilik darjah.

  1. Bahan Bantu Mengajar

Penggunaan bahan bantu mengajar adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan program pembelajaran, menimbulkan rangsangan keinginan pelajar-pelajar untuk mengetahui sesuatu dan untuk menjadikan pembelajaran baik dan lebih menarik. Bahan bantu mengajar bukanlah merupakan sesuatu yang tersisih sifatnya daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Ini disebabkan alat bantu mengajar yang sesuai memainkan peranan sebagai suatu medium yang boleh menimbulkan komunikasi di antara guru dan pelajar.

Mengikut Noraziah Abdul Hamid (1981), bertajuk “Alatan Mengajar Dalam Pengajaran Bahasa, ‘alat bantu‘ itu mestilah dianggap sebagai satu bahagian yang padu dalam proses tersebut. Ia bertujuan untuk menambah kelancaran perhubungan antara guru dan murid dan sebaliknya, murid sesama murid serta membantu atau mempercepatkan proses pemahaman mereka. Pendapat ini disokong sama oleh Edgar Dale (1964) yang digambarkan dalam bentuk “cone of experience” di mana proses pembelajaran bermula dengan proses aspek semi-abstrak hingga kepada yang lebih abstrak. Penggunaan bahan bantu mengajar amat penting dan merupakan sebahagian keperluan daripada kaedah dan idea-idea yang disampaikan oleh guru kepada pelajar. Walau apa jua kaedah pengajaran yang digunakan, guru tetap perlu menyediakan bahan bantu mengajar supaya komunikasi guru dan murid berjalan dengan baik. David Berlo (Musa Sulaiman, 1999) menyatakan bahawa terdapat empat ciri penting dalam proses komunikasi iaitu sumber, pesanan, saluran dan penerima. Isi pengajaran sebagai mesej atau pesanan dan salurannya melalui lisan, bahan bantu mengajar dan tulisan. Ciri-ciri tersebut diperlukan bagi pelajar menguasai empat jenis kemahiran komunikasi iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Oleh itu, guru perlu menggunakan pengetahuan saintifik, psikologi pembelajaran, perkembangan teknologi, beberapa bahan bantu mengajar termasuk yang lama dan baru bagi mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajaran.

  1. Pengurusan Disiplin

Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran sukar untuk dicapai sekiranya masalah tingkah laku masih tidak dapat ditangani dengan baik. Mencorakkan tingkah laku positif di kalangan pelajar dapat mengurangkan masalah-masalah yang timbul sekaligus dapat membantu guru mengoptimumkan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Oleh itu, guru sewajarnya komited dengan peranannya sebagai pendidik, pembimbing, pengubah sikap, pembentuk sahsiah dan pembina generasi bermoral serta berhemah tinggi. Oleh itu, guru seharusnya bijak menangani masalah yang timbul dalam menguruskan disiplin pelajar dari aspek tingkah laku, humanistik dan kognitif.

Peranan Guru Dalam menguruskan Pelajar Bermasalah

  1. Pengurusan Murid

Murid adalah pelanggan bagi setiap guru dalam bilik darjah, mereka akan bersama setiap kali pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam bilik darjah. Hati mereka perlu dibersihkan melalui pendidikan yang terbaik, yang melampaui tingkahlaku manusia. Terdapat perbezaan antara individu murid atau kumpulan murid dengan yang lain yang mendesak guru menggunakan yang optimum dalam pengurusan bilik darjah, dan adalah penting guru memahami tingkahlaku dan budaya murid supaya sebarang tindakan dapat dilakukan mengikut kaedah yang betul dan tepat. Pengurusan hal ehwal murid dalam bilik darjah melalui pendekatan penyayang yang ditunjukkan oleh guru, dapat menjinakkan mereka, bercakap dengan bahasa yang lembut dan bersopan, menegur dan membetul kesilapan dengan cara yang berhemah, di samping menggunakan segala sifat mahmudah, akan mempercepatkan proses kecintaan dan kesetiaan murid terhadap gurunya, dan kemujaraban pemindahan maklumat daripada guru kepada muridnya.

Kemahiran berkomunikasi memainkan peranan penting ke arah pembentukan budaya penyayang, komonikasi berkesan dalam dijelmakan dalam cara bertutur, penggunaan bahasa badan, penulisan, juga melalui penggunaaan alat-alat tertentu seperti komputer, telipon dan sebagainya. Apabila seorang guru menggunakan kemahiran berkomonikasi terhadap muridnya, dapat menghasil suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan akhlak, kemahiran-kemahiran tertentu dapat diterap dengan lebih mudah dan berkesan. Komunikasi berkesan menghasilkan motivasi yang berkesan, murid mudah menerima motivasi yang disampaiakn secara berhemah dan berhikmah, nilai-nilai murni yang hendak ditanam dalam diri murid akan melalui laluan yang lebih mudah dan berkesan. Guru yang berwibawa sentiasa melihat pembelajaran sosial sebagai satu aspek penting dalam bilik darjah. Setiap yang dipimpin perlukan penghargaan dan pengiktirafan, dan guru seharusnnya bijak menggunakan kebijaksanaan komunikasi serta pendekatan penyayang dengan menghadiahkan senyuman, memberikan penghargaan apabila mereka mempamerkan sesuatu yang lebih baik daripada sebelum, misalnya, kelas yang lebih teratur, kemas yang bersih. Menghabiskan ayat hafazan sebelum jangka masa yang ditentukan, markah yang semakin baik. Sekeping kertas berbentuk surat penghargaan, atau sebatang pen sebagai tanda penghargaan sudah menunjukkan keikhlaan guru bagi meningkatkan prestasi mereka.

Guru menunjukkan teladan sebagai seorang professional, membentuk program-program yang bertujuan membangunkan murid, dengan peraturan dan arahan yang jelas, bagi mengurang segala tingkahlaku negative. Guru sepatutnya mengelak diri daripada menggunakan pendekatan-pendekatan yang bertentangan dengan norma kemanusiaan yang menggalak murid menghargai pertumbuhan pengetahuanh dan kemahiran diri. Budaya bilik darjah yang dinamis, mementingkan aspek nilai-nilai murni, hubungan yang mesra di antara sesama murid, dan murid dengan guru, budaya belajar yang ceria, meyeronokkan yang menyentuh emosi, meningkatkan kecergasan mental, kreatif dan enovatif, penyertaan yang aktif, pembelajaran yang berobjektif dan bermatlamat, yang sentiasa mendapat dorongan dan bimbingan guru dan rakan sebaya, tahap disiplin yang terkawal melalui tindakan yang berhemah, yang dibaluti dengan perasaan kasih dan saying dapat memberi peluang yang terbaik untuk mengembang potensi diri mereka ke arah pembentukan modal insan yang berkauliti. Guru boleh membuat jangkaan terhadap pelajar, seperti mengurangkan kadar ponteng dan permasalahan disiplin melalui pendekatan pengurusan bilik darjah yang berkesan. Kadar bilangan murid yang terlalu ramai dalam sesebuah bilik darjah, bukan satu ukuran yang subjektif untuk dibuat satu kesimpulan bahawa kelas tersebut tidak dapat dibangunkan, tetapi bagaimana guru menyusun kedudukan meja, mengorganisasikan murid sebagai sebuah pasukan yang mantap, melalui tindakan guru sebagai fasilitator, pembimbing, penyelia, pengawal dan penggerak serta menggunakan pelbagai pendekatan kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran yang disertai dengan semangat, minat, dan komitmen guru bagi menjayakan visi dan misi. Kecekapan yang ditunjukan oleh guru bagi menhasilkan bilik darjah sebagai sebuah rumah dalam slogan,’ bilik darjah ku, rumah ku’. Kemahiran mengawal kelas apabila guru melangkah masuk ke kelas tersebut menjadi penting kerana seorang guru tidak boleh melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berkesan sekiranya muird-murid dalam kelas berkenaan tidak dapat dikawal dengan baik.

Guru mungkin berhadapan dengan beberapa murid yang nakal, tetapi harus ingat bahawa bukan semua murid menjadi punca permasalahan tetapi jika tiada pengawalan yang baik, jumlahmurid yang akan menimbulkan ketidakselesaan guru akan bertambah dan akhirnya menjejaskan penumpuan guru terhadap penyampaian pengajaran . Strategi bagi mengawal keadaan ini, guru mengenalpasti murid-murid yang menimbulkan punca permasalahan, supaya murid lain tidak menjadi ‘pak turut’ dengan permasalahan rakan mereka itu, murid yang berkenaan dikenalpastikan pula punca yang menyebabkan ia bertindak sedemikian, cuba membantu menyelesaikan punca permasalahan itu, dan teruskan aktiviti pengajaran dengan banyak berinteraksi dengan murid yang berkenaan sehingga ia merasakan dirinya mendapat perhatian dan dihargai bukan kerana dirinya tetapi kerana tingkahlakunya yang tidak disenangi guru. Guru juga sentiasa mempamerkan pengiktirafan terhadap murid berkenaan ketika berada di luar waktu pengajaran dan pembelajaran, ketegasan kepada disiplin pembelajaran perlu dilakukan dengan cara dan pedekatan yang berhemah yang menampakkan bahawa ketegasan itu bukan bertujuan penderaan tetapi pengajaran. Sekiranya perlu murid berkenaan diberikan nasihat, teguran dan kata-kata motivasi yang menggambarkan bahawa guru menyayanginya.

Apabila berlaku perubahan ke arah kebaikan, berilah pengiktirafan dan penghargaan terima kasih. Kesabaran, kecekalan dan kesungguhan untuk membentuk perangai mereka yang kadangkala mengambil masa yang agak lama. Beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan mengurus tingkahlaku murid, antaranya ialah senaraikan maklumat yang perlu murid ketahui tentang peraturan yang wajib murid patuhi sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran dan disertai dengan sebab-sebab dan objektifnya. Membiasakan diri datang ke bilik darjah menepati masa, menggunakan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap pencapaian murid, yang dimulakan dengan set induksi yang menarik dan diikuti dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menghilangkan rasa kebosanan mereka atau melakukan beberapa tugasan yang berkaitan dengan isi-isi pengajaran tersebut, guru tidak melengah-lengah waktu untuk memulakan pengajaran dan menamatkan pengajaran diminit-minit yang akhir, untuk mengelakkan murid melakukan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan hasil pembelajaran, banyak merangsangkan minda mereka dengan kata-kata bermotivasi dan penuh dengan senyuman dan jenaka (sense humor), dan pujian supaya suasana senstiasa ceria, di samping memberi teguran umum yang berupa nasihat tetapi bukan leteran. Guru juga menghormati murid seperti orang lain, bersikap adil kepada semua murid, hukuman berbentuk deraan tidak seharusnya dilaksanakan kerana menyebabkan hubungan guru dengan murid akan renggang dan menghilangkan minat murid untuk meneruskan

pembelajaran.

Pengurusan pengajaran dan pembelajaran

Pengurusan pengajaran dan pembelajaran adalah aspek yang terpenting dalam bilik darjah, merupakan tugas utama yang perlu diberi perhatian yang serius, pembaziran waktu akan berlaku dalam satu masa pengajaran dan pembelajaran sekiranya objektif pembelajaran tidak tercapai. Pelan Tindakan Strategik bagi mata pelajaran yang diajar perlu disediakan oleh guru. Kajian dari aspek kekuatan, kelemahan, peluang dan halangan yang disertai dengan perancangan untuk lima tahun dan perancangan untuk tahun semasa selaras dengan perancangan staregik sekolah. Peningkatan profesionalisma guru dalam bilik darjah dilihat dalam aspek kebolehan mencorak kualiti pengajaran, kebolehan menyusun organisasi pembelajaran, kebolehan mencorak iklim dalam bilik darjah, kebolehan mencorak perkembangan murid termasuk perkembangan akademik, perlakuan, sosial, emosi, rohani, intelek dan jasmani. Guru yang bercita-cita untuk menjadi pengurus bilik darjah yang berkesan dapat memahami perasaan dan kehendak hati nurani murid-murid, guru perlu cekap mencorak iklim yang memberansangkan, kecekapan dan kemahiran pengajaran, pengurusan masa, produktiviti dan tugas pengajaran dan pembelajaran, mencorakkan tingkahlaku dan pengawalan disiplin murid. Oleh itu guru berperanan sebagai pendidik, pemudah cara, pemimpin, pembimbing, penilai, perancang, perunding dan pendorong ke arah kecemerlangan murid. Bagi mencapai kecekapan dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran maka perlukan kebijaksanaan dan penelitian dalam perancangan , pelaksanaan, penyeliaan, penilaian dan refleksi. Merancang kurikululum, sukatan, huraian sukatan, buku teks, bahan rujukan tambahan dan maklumat tambahan daripada pelbagai sumber termasuk laman web.

Perkara-perkara yang melibatkan innovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran supaya kelas tidak menjadi beku dan kaku diikuti dengan perancangan kemajuan pelajar, merangka rancangan kerja tahunan, termasuk ujian, penilaian dan pentaksiran. Perancangan yang berkualiti menjamin peningkatan kuantiti dan kualiti dalam proses perkembangan pembelajaran serta hasilannya. Biasanya tingkahlaku dan minat murid akan berubah apabila bertukar guru, ada guru yang digemari murid dan sebalik ada yang tidak digemari murid. Pembelajaran yang bermakna melibatkan proses memahami, berfikir, berbincang, membuat pertimbangan, menganalisis, kognitif, bagi mengembangkan minda murid.

Diperluaskan kepada kemahiran komunikasi, menyesuaikan diri, kemahiran sosial, dan perkembangan tingkahlaku. Prinsip umum pembelajaran, iaitu meningkatkan dan mengekalkan rasa kejayaan, meluaskan tahap keintlektualan, kerohanian, kekuatan emosi, dan keteguhan jasmani, merangsang minat dan menghasilkan keseronokan, memberi ruang dan peluang untuk mengatasi kelemahan, tidak menakut-nakutkan dan mengungut murid, sebaliknya memberi peluang kepada mereka memperbaiki kelemahan, tidak membiarkan kegagalan berterusan, pembelajaran perlu realistik dan boleh dilakukan, mengambil kira kemampuan murid, pembelajaran perlu dapat menentukan objektif iaitu apa yang hendak dikuasai oleh murid, dan pembelajaran juga mampu mencabar kebolehan murid bagi mengembangkan potensi mereka.

Guru perlu memiliki beberapa kemahiran penting, kerana kemahiran mengajar menjadi instrument untuk kejayaan dalam mengurus bilik darjah, antara kemahiran dalam pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh diambil dari modul, model, kaedah dan teknik yang sedia ada atau menggunakan daya innovasi dan kreativiti membina modelmodel tersendiri, kemahiran berkomunikasi, kemahiran interpersonal, kemahiran dalam bimbingan dan kaunseling, kemahiran dalam menawan emosi atau kesedaran emosi juga menjadi pemangkin dalam pengajaran dan pembelajaran. Komunikasi adalah medan pemindahan pengetahuan, penyampaian pengajaran, mengembangkan kemahiran berkomunikasi, dan mendapat maklumat. Mengamalkan komunikasi berkesan, penggunaan bahasa, kesediaan mendengar, meningkatkan proses intraksi, komunikasi terbuka, kemahiran bertutur dan mengemukakan pandangan, berhujah dan berdailog, Guru seharusnya mampu mengembangkan kemahiran komunikasi, lebih kreatif dan hubungan yang lebih dinamik kesannya, penyelesaian konflik yang berrlaku, memberi ruang untuk murid melahirkan pandangan, guru mampu melakukan pengaliran maklumat yang lebih berkesan, serta mendapat maklum balas yang benar. Guru berjaya menghasilkan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran, dengan membina pelbagai kemahiran, yang boleh meningkatkan kecekapan, dan meluaskan skop pembelajaran, yang bermatlamat bagi meningkatkan pengajaran guru.

Justeru itu guru seharusnya mengelakkan masalah yang boleh menjejaskan keberkesanan komunikasi seperti kekeliruan, salahtafsir, bahasa yang kasar, suara yang tidak jelas, bahasa badan yang tidak sesuai, memberi tekanan emosi murid, komunikasi tertutup, tidak member perhatian dan tumpuan tentang pengajaran dan pembelajaran. Kehebatan pengajaran guru bergantung kepada kejelasan suara, gaya pengajaran yang menarik, flesibiliti iaitu tidak sehingga membosankan, inovasi, kreatif, pendekatan yang sentiasa digunakan untuk membaiki kelemahan murid, penglibatan murid dalam aktiviti kelas, dan pengurusan masa yang berkesan. Meransang minat, memenuhi keperluan diri, sosial, dan psikologi, dorongan dan sokongan, mengembangkan potensi, kebolehan, minat, bakat dan keyakinan diri murid.Kepakaran guru diukur dari aspek inisiatif, dedikasi, perancangan, kerjasama, kepimpinan, kepakaran, integriti yang tekal dalam organisasi yang dapat mengujudkan keharmonian dan menunjukkan kesetiaan dan sokongan bagi menjayakan wawasan, keaktifan, dan pengurusan masa. Pembelajaran murid terhasil melalui proses pendengaran,pemerhatian, peniruan, membuat, ekplorasi iaitu pembelajaran yang aktif yang merangsangkan minat murid, melalui latihan, percubaan, penglibatan dalam aktiviti pembelajaran.

Kejayaan seseorang guru sebagai pengurus di bilik darjah tidak semata-mata dinilai daripada aspek kemahiran dan teknik pengajaran dan pembelajaran semata-mata, tetapi kualiti peribadi dan sahsiah diri juga menjadi tarikan kepada murid-murid. Pada amnya guru yang disukai murid antaranya ialah yang sentiasa berwajah periang, pandai berjenaka, bersangka baik, berperasaan yang matang, jujur dan ikhlas dalam menjalankan tugas, berfikiran positif, tenang menghadapi sebarang krisis, pendengar yang aktif, berjaya menyelesaikan konflik, dan tidak mudah menyalahkan orang lain. Imam al-Ghazali menggariskan ciri-ciri guru yang efektif iaitu guru yang memiliki rasa simpati kepada setiap murid dan melayani mereka seperti anak sendiri, meneladan sunnah Rasulullah S.A.W. yang ikhlas dalam memberi perkhidmatan, tidak membenarkan murid melaksanakan sesuatu tugas kecuali guru benar-benar mengetahui pengetahuan tersebut, menasihat murid secara lembut dan berhemah supaya meninggalkan perkara-perkara yang buruk, tidak sekali-kali merendahkan disiplin ilmu yang lain di hadapan murid, menghadkan pembelajaran bersesuaian dengan tahap pencapaian dan pemahaman murid dan tidak memaksa mereka mencapai sesuatu di luar kemampuan serta menyediakan bahan pembelajaran yang mudah difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal murid.

Penutup

Kesimpulannya, kemahiran mengawal kelas perlu dilaksanakan mengikut budi bicara dan kebijaksanaan guru. Guru bertanggungjawab untuk menyelia dan mengarah semua aktiviti dalam kelas termasuk disiplin pelajar. Pelajar berdisiplin dapat menjamin ketenteraman dalam kelas. Proses pengajaran dan pembelajaran akan dapat berjalan dengan licin dan berkesan. Sebarang masalah yang wujud semasa mengawal kelas hendaklah diselesaikan dengan cara mengenal pasti punca masalah di samping mengenali latar belakang pelajar terlebih dahulu supaya sebarang tindakan yang diambil akan memberi kesan yang positif terhadap diri pelajar.

No comments:

Post a Comment